"Waalaikumussalam" jawab teman sebiliknya, Zuwan Iskandar, berasal dari Perlis. Zuwan pulang awal dari masjid dan menyambung solat sunat tarawihnya di bilik.
Hafiz yang baru sahaja pulang dari masjid, merasakan badan terlalu letih. Minta untuk berehat hendaknya.
"Dah siap packing dah?" soal Zuwan. Sambil dia melipat pakaiannya dan disusunkan di dalam beg.
"Baru siap petang tadi, hihihi" jawab Hafiz.
"Patutlah relax semacam jer" ujar Zuwan sambil tersenyum.
Hafiz bangun sebentar untuk mengambil buku Indahnya Hidup Bersyariat di meja, lantas terlihat kertas yang
ditampalnya beberapa bulan yang lalu.

Dilihat bentuk hati itu.
Berfikir sejenak..
"Hrm..."
"Wallahualam..." bermonolog sendirian di dalam hati. Itu yang paling baik buat masa ini.
Ditatap buku itu dan difahami ayatnya satu per satu. Bab sebelum ini sudah pun dikhatamkan, kini sampai di...
Bab Perkahwinan (Munakahat)!
"Astaghfirullah" soal dalam hati. "Apa yang sedang Allah beritahu aku ni?"
Namun, mindanya terus difokuskan dengan niat memahami ilmu kerana Allah. Malam ini tiada apa-apa urusan
seperti malam-malam biasa yang penuh dengan meeting dan perjumpaan. Masa yang ada dimanfaatkan dengan membaca buku. Lebih-lebih lagi itu adalah hobinya.
Keesokan harinya, dia akan balik ke kampung halamannya yang terletak di beratus-ratus kilometer dari Universiti Malaysia Sarawak.
Dalam usia yang muda itu, dia sudah terbiasa untuk berada jauh di samping dengan keluarga sebab dilatih untuk
hidup susah dan berdikari sejak kecil. Sedang enak membaca buku, tiba-tiba fikirannya menerawang ke kampung halaman.
"Bestnye cuti raya!!"
.....................................................................................
Alhamdulillah, dia selamat sampai di pangkuan keluarga perjalanan 2 jam benar-benar mencabar.
Namun di bulan Ramadhan Al Mubarak, semua kesusahan itu mengingatkannya tentang keperitan hidup dan kesengsaraan sahabat seislamnya di negara-negara bergolak seperti Albania, Palestin dan Afghanistan.
Syukurlah dia lahir di Malaysia.
"Allahuakbar..Allahuakbar." muazzin di masjid melaungkan azan.
Masuk sudah waktu berbuka.
Berbuka puasa bersama keluarga sememangnya berbeza. Seronoknya amat. Bersama ibu dan walidnya, adik-adik.
Pengalaman yang jarang-jarang ada di Sarawak.
Selepas itu, sekeluarga Encik Farid bersiap-siap untuk ke masjid, menyambung ibadahnya di waktu malam pada bulan Ramadhan.
.....................................................................................
"Assalamualaikum syeikh. Hafiz Syafiqri, lamanya tak jumpa kamu? Camne kat sarawak? OK?" Tuan Haji Kamarul,
Imam Masjid Pokok Sena menyapanya dari belakang-sebaik sahaja dia menjejakkan kaki ke dewan solat masjid. Hafiz menjawab salam Haji Kamarul dengan mesra.
Insan yang dianggapnya sebagai ayah angkat itu cukup disanjunginya, bacaan Al Qurannya gemersik dan kata-katanya cukup berhikmah dalam menyampaikan kuliah. Idolanya. Guru Al Qurannya sejak dari kanak-kanak.
"Hafiz, malam ni pakcik kurang sihatlah. Boleh kamu ganti pakcik untuk jadi imam solat tarawih. Lagipun, anak muda macam kamu ni kena dilatih dari awal. Pelapis generasi veteran" Tuan Haji Kamarul gelak kecil sambil terbatuk-batuk.
"Insyaallah." jawab Hafiz.
Solat tarawih pada malam itu pun diimamkan olehnya. Para jemaah memang sudah biasa dengannya. Mereka juga merasakan bahawa generasi muda (syabab) perlu diberi peluang untuk memikul sedikit tanggungjawab dan peranan mereka.
Usai moreh, Hafiz berjalan pulang ke rumah. Sampai sudah.
Ibu merasakan ada yang tidak kena dengan anak sulungnya itu.
Riak wajah Hafiz seolah-olah menyembunyikan sesuatu.
Didekati anak yang sedang asyik menghadap buku itu.
"Apis, ibu tengok kamu ni sejak balik dari masjid tadi, nampak laen macam ja. Tak sihat ka?"
"Apis ok ja ibu. cuma la ni, ada kemelut sikit jiwa nie." Hafiz cuma menceriakan keadaan dengan ayatnya yang sedikit puitis.
"Cuba Apis cerita kat ibu." si ibu prihatin.
"Semuanya jadi bila Apis nak balik dari masjid tadi..."
.....................................................................................
Semasa Hafiz berjalan pulang dari masjid, tiba-tiba ada suara yang mencuitnya dari belakang.
"Assalamualaikum, anak muda." sapa seorang pakcik yang baru sahaja berpindah ke kampungnya 2 tahun lepas. Namanya Haji Mahmud. Mantan pengetua Maahad Tahfiz Al Qiraat di Shah Alam. Senyumannya cukup mesra.
"Waalaikumussalam" jawab Hafiz dengan senyuman terukir di bibir.
"Tak salah pakcik, kamulah yang jadi imam solat tarawih tadi. Bagus bacaan kamu. Alhamdulillah, syukurlah ibu bapa kamu ada anak macam kamu ni. Bukan apa la ni, susah sangat nak cari anak muda macam kamu. Boleh jadi imam.." puji Haji Mahmud.
Hafiz tertunduk...hatinya beristighfar, menyakini semuanya milik Allah, semuanya pinjaman.
"Astaghfirullah. Pakcik, semuanya ini hidayah Allah, saya hanya hambaNya yang perlu mensyukuri ja.".
"Subhanallah. Subhanallah. Semoga Allah kekalkan nikmat hidayahNya kepada kita semua. Sebenarnya pakcik ada hajat.." Haji Mahmud berbicara.
"Pakcik berhajat nak pinangkan kamu dengan anak pakcik, Zulaikha namanya. Dia baru sahaja pulang cuti dari Mesir, Universiti Ain Shams, graduan kursus Qiraat dan Syariah. Anak pakcik pun dah dewasa, maka pakcik dah ambil keputusan untuk 'khitbahkan' dia dengan awak, itu pun kalau kamu tak keberatan"
Hafiz tak pernah tahu pun Haji Mahmud ada seorang anak gadis di Mesir. Tak pernah diberitahu sebelum ni.
"Pakcik yakin kamu mampu pikul amanah ini. Zulaikha pun sendiri yang minta pakcik carikan calon zauj (suami) untuknya" sambung Haji Mahmud dengan senyuman. Ikhlas senyumannya.
Hafiz menelan air liur. Tekaknya dibasahkan. Jantung berdegup kencang.
Dia tidak pernah mengenali langsung insan yang bernama Zulaikha itu.
"..............." tak terkeluar perkataan dari mulut Hafiz.
"Tak apalah, nak. Kamu fikirkan dahulu dengan ibu dan bapa kamu. Nanti pakcik akan jumpa mereka, Insyaallah."
.....................................................................................
Kini ibunya pula terdiam. Anak yang baru berusia 18 tahun sudah dicalonkan sebagai suami.
Ibunya memulakan bicara.
"Hafiz Syafiqri, ingat pesan ibu. IKHLAS dalam setiap perbuatan. Janganlah disebabkan perkara ni, fokus minda kamu terbias dari yang haq. IKHLAS. "
Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, maksudnya
"Sesungguhnya setiap amalan itu disertai dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang dinilai dari apa yang diniatkan. Sesiapa yang hijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya itu adalah dinilai kerana Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrah kerana dunia yang diidamkan atau perempuan yang ingin dikahwininya maka hijrahnya dinilai kerana itulah. Hadith riwayat Tabrani"
"Ibu yakin Haji Mahmud tertarik dengan kamu atas beberapa sifat dan kelebihan kamu. Tapi ibu nak kamu tahu tolong sertakan niat yang ikhlas kerana Allah dalam setiap amalan kamu"
Hafiz tertunduk. Hatinya terbuka menerima nasihat ibu.
"Meskipun kita menerima bertalu-talu pujian, sentiasalah ingat semuanya milik Allah. Bakat dan kemahiran itu milikNya, Dia boleh beri kepada sesiapa yang dimahukanNya.
Dia juga berkuasa menarik semua nikmat itu pada bila-bila masa"
Hafiz mengangguk. Setuju.
Ibu sambung bicara.
"Jangan sesekali riak. Riak itu syirik kecil, bahkan syirik termasuk dalam salah satu dosa yang besar. Apalah guna jika amalan yang kita lakukan itu, menjadi penyebab kita dimasukkan ke neraka akibat sifat riak dan bangga diri (takjub)."
"Dan ingatlah Apis, kita berasal dari tanah- dalam (Surah Al Sajadah: ayat 7) Allah berfirman; Yang memperindah sesuatu yang Dia ciptakan dan memulakan penciptaan manusia daripada tanah."
"Apis, kita berasal daripada tanah pada awalnya dan kita akan kembali pada tanah jua bila sampai ajal kita. Tanah itu berada di bawah kita. Hina. "
"Ibu serahkan keputusan itu kepada kamu sendiri. Sama ada kamu mahu atau tak. Kamu sudah besar, Apis. Kini tiba masanya kamu buat keputusan yang besar dalam hidup kamu." nasihat ibu ringkas namun penuh fikrah.
Ibu mencium ubun-ubun Hafiz dan melangkah keluar dari biliknya. Banyak urusan di dapur yang perlu diuruskan.
"Terima kasih, ibu." Hafiz melangkah ke bilik air, ingin mengambil wudu'. Istikharah perlu ditunaikan, memohon
petunjuk Ilahi.
.....................................................................................
Selang beberapa hari, Hafiz nampak ceria. Ibunya perasan perubahan emosi anaknya itu.
Ibu itu pergi duduk sebelah anaknya di sofa.
"Apa keputusan Hafiz tentang pelawaan itu?" tanya ibu, direct.
"Saya ambil keputusan untuk menolak dengan cara yang baik. Saya lebih selesa untuk mencari orang yang saya sudah kenal sedikit peribadi dan fikrahnya. Saya sudah jelaskannya kepada Haji Mahmud, beliau faham. Saya yakin ini merupakan keputusan terbaik berdasarkan istikharah saya, ibu. "
"Saya sedar saya pun masih belum sedia lagi untuk itu"
Ibu tersenyum, dipeluk erat anaknya itu.
" Kamu pun masih study lagi. Baru jadi student asasi. Bagi ibu, kamu study dulu, fokus. Tapi cari calon itu sekarang, kamu perhati akhlaknya. Pilih kerana agama dan kematangan fikrahnya. "
Hafiz faham maksud ibunya.
"Agama.."
"Kematangan fikrah..."
"Apis, lepas umur kamu genap 19 tahun, andai kamu ketemu calonnya, beritahulah ibu dan walid. Insyaallah, kami sudi berunding." merah wajah Hafiz mendengar ayat ibunya.
Malu.
Ibu sambung lagi bicara.
"Sekarang ni, remaja dengan mudah melafaz 'cinta' dan 'sayang' kepada pasangan yang masih belum halal bagi mereka. Tapi sesudah berumah tangga, dan apabila pasangan jatuh sakit atau ditimpa kecacatan, perasaan 'cinta' itu hilang dan tercabut dari dalam hati. Mereka mengabaikan pasangan itu terlantar sakit di katil dan di'swasta'kan kepada nurse-nurse untuk menjaganya. Ini bukan cinta sebenar."
"Hafiz Syafiqri, masa atuk Alip sakit, nenek jaga dia betul-betul . Mandikan dia, ambilkan wudu' untuk dia, jaga makan dan pakai. Walaupun atuk Alip lumpuh separuh badan, tapi kasih sayang nenek terhadap atuk Alip tak pernah lumpuh. Itulah cinta sebenar; susah-senang setia bersama, sedih-suka dikongsi bersama. Ibu dan walid banyak belajar daripada atuk Alip dan nenek."
Ibu menitiskan air mata. Hafiz terharu. Terkenangkan arwah atuk Alip yang meninggal dunia beberapa tahun lalu.
"Ibu nak Apis cari pasangan hidup yang Apis yakin dia betul-betul sayang dan kasihi Apis seadanya. Apa pun yang terjadi dekat Apis dia akan cuba bantu dan berada di sisi. 'Wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia' kan? Asalkan agama dan akhlaknya baik, ibu dan walid redha."
Hafiz angguk, ibu kini berbicara soal yang sebelum ini dirasakan sangat sensitif baginya.
"Tak da calon dari Sarawak ka?" soalan cepumas ibu.
Hafiz senyum.
"Apis, ikhlaskan diri kamu. Teruskan bermujahadah menuntut ilmu, Insyaallah dalam jalan muhajadah itu Allah kurniakan kamu rezeki yang kamu tidak sangka-sangka. Contohnya jodoh."
p/s: Kasih ibu membawa ke syurga, nasihatnya membawa bahagia, soalan cepumasnya ... :)
Serahkan cinta pada yang selayaknya.
universiti ain shams? keh3
ReplyDeletehahahaa, baekk punya :)
ReplyDeletesiapakah hafiz di alam reality :)
ReplyDeleteir anis: siapekah dia? erm..
ReplyDeleteumm, ikhlas, :)
ReplyDelete:)
ReplyDeleteyup, ikhlaskan diri.
ReplyDeleteahha,, best bc cerpen ni,, tapi cam tergantung.. bila nak ad sambungan?????moga terus thabat dijalaNNYA,,,MAY ALLAH BLESS
ReplyDeletesubhanallah..nice entry..moga ada sambungannya.. :)
ReplyDelete